Monday 27 May 2013

Jawapan

Rabu, 22 Mei 2013

Yang Berbahgia Mulia Syeikh Nasrullah ar...

Mohon ampun Abuya, Abuya punya. Mohon berkat dan dipandu Bonda Wasilah ar.

Oleh kerana surat ybm Syeikh telah tersebar di internet melalui blog ikhwantoday, maka ana mengambil inisiatif untuk menjawab beberapa persoalan samada secara langsung maupun secara tidak langsung.

Sebelum itu ana mohon berbanyak ampun dan maaf sekiranya tulisan ini merupakan jawapan yang tidak diminta oleh pihak ybm Syeikh. Walau apa pun, rasanya kawan-kawan perlu diberikan penjelasan dan mereka berhak mendapatkan pandangan dari berbagai sudut.

1. Berkaitan pengalaman yaqazah. Sekiranya yaqazah bersama para Nabi dan Rasul juga diperselisihkan oleh para ulama, maka selain dari para Nabi dan Rasul lebih-lebih lagi terbuka untuk perbahasan. Ini asasnya.

Seseorang yang beryaqazah tidak semestinya mampu menterjemahkan mesejnya ke dalam dunia realiti. Ini mengikutlah kemampuan ilmu, pengalaman, kepimpinan dan sejauh mana 'terpandunya' orang tersebut.

Sebagai contoh marilah kita merujuk kepada cerita popular yang Abuya selalu sampaikan iaitu kasyaf Nabi Allah Khidir as dengan kepimpinan Nabi Allah Musa as. Yaqazah adalah salah satu cabang kasyaf. 
Kesimpulan dalam cerita tersebut ialah, seorang Nabi yang bukan Rasul langsung bertindak apabila dia diberikan 'kasyaf', berlainan sekali dengan Nabi lagi Rasul yang akan memimbangkan pengalaman kasyafnya dengan timbangan akal sebagai seorang pemimpin.

Sedangkan Nabi Allah Musa adalah salah seorang daripada lima orang Ulul Azmi, tetapi dia tidak bertindak seperti Nabi Allah Khidir as. Walhal kedua-duanya pasti ada kelebihan kasyaf diberikan oleh Allah. Maka, setiap pandangan rohani seorang pengikut, perlulah diselaraskan dengan pandangan seorang pemimpin.

Jika yaqazah yang dialami oleh Syeikh Fakhrurazzi itu benar, maka tidak semestinya tindakan yang dibuat juga bertepatan. Ini jelas apabila tindakan yang dibuat nampaknya bukan semakin membaiki keadaan, malah dilihat akan mengkucar kacirkan lagi pendirian anak-anak buah.

Walhasil, setelah disebarkan cerita tersebut dengan ulasan yang lebih menjurus negatif terhadap Bonda Wasilah, apakah secara spontan ketaatan seluruh pemimpin dan anak buah akan berpindah kepada Syeikh Fakhrurrazi ar? Tentu tidak semudah itu, bukan?

Jika jawapannya tidak, maka apakah dengan mendedahkan perkara-perkara seumpama ini dianggap sebagai langkah memperbaiki jemaah atau merosakkan jemaah?

Tidak keterlaluan sebenarnya, jika beginilah cara kita menguruskan hal-hal yang tidak mudah difahami oleh semua anak buah, maka langkah yang dibuat bukan sahaja tidak menyelamatkan jemaah, tetapi impak yang lebih serius ialah hilangnya keyakinan anak buah kepada kita. Maka jika anak buah hilang keyakinan kepada orang yang ditua-tuakan dalam jemaah, sudah tentu kita boleh faham akibatnya.

Kesimpulannya, jangankan persoalan kerohanian, persoalan lahiriah pun sangat sulit untuk semua memahami apatah lagi menterjemahkannya dalam realiti. Lihat sajalah umat Islam yang mendakwa merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Kenapa masih berpecah belah? Sedangkan semuanya mengaku merujuk pada Al Quran dan Sunnah.  Begitu jugalah bagi mereka-mereka yang mendakwa merujuk terus kepada minda Abuya tetapi menolak wasilah, apa yang telah terjadi kepada mereka?

Ini bukti bahawa, untuk menterjemahkan ilmu lahir pun susah, sulit dan rumit apatah lagilah menterjemahkan maksud sebenar isyarat atau pengalaman kerohanian.

Maka langkah yang sebaiknya ialah merujukkan perkara tersebut kepada Bonda Wasilah terlebih dahulu, jika kita yakin dialah wasilah RSA. Jika tidak, maka apakah sudah ada pertukaran wasilah atau sudah ada pengganti Abuya?

2. Berhubung tanggapan amalan syirik atau khurafat

Adalah menjadikan keyakinan menurut ilmu Islam bahawa sihir atau istidraj adalah sesuatu yang menjauhkan manusia dari Tuhan. Samada pengamalnya maupun kesan kepada orang yang terkena sihir tersebut.

Memang menjadi kebiasaan golongan fasik beramal dengan sihir untuk memecah belahkan keluarga, sesama jiran dan kumpulan tertentu. Pengamal sihir akan semakin hilang rasa hamba dan rasa berTuhan dalam diri mereka, malah rasa diri tuan (lebih zalim lagi berlagak Tuhan) semakin mengukuh dalam diri pengamal sihir atau orang yang sedang dalam istidraj.

Sebaliknya apa yang berlaku dalam GISB melalui wasilah, ahli-ahli semakin berhalus dan semakin dipertajamkan rasa hamba dan rasa berTuhan dalam diri mereka dari semasa ke semasa. Ini terbukti dalam banyak perkara. Ibadah malam semakin meriah dan indah, kasih sayang dan perpaduan di kalangan ahli keluarga, suami isteri, ahli sesama ahli, anak buah dengan pemimpin dan pemimpin sesama pemimpin semakin erat, kukuh dan padu. Sudah tidak ada lagi klik-klik yang membawa perpecahan dalam GISB.

Jika semua itu boleh dicapai oleh kuasa sihir, maka apakah formula sihir lebih baik dari formula Al Quran dan Hadis yang dipimpin terus oleh mursyid?

Kenapa timbul persoalan kononnya ada bukti oleh pihak berkuasa untuk mendakwa tetapi realitinya semuanya dibebaskan tanpa apa-apa dakwaan pun?

3.  Pertikaian DUIT

Sebenarnya sejak dari dulu, salah satu isu yang akan dibangkitkan oleh mereka yang tidak berpuashati dengan jemaah, ialah pasal duit.

Bila hati sudah longgar dengan mursyid, maka dengan sendirinya hati longgar dengan Allah dan Rasul. Bila hati sudah longgar dengan Allah dan Rasul, maka nafsu dan syaitan mengambil tempat dan mula berperanan. Perkara yang akan dipandang besar adalah dunia. DUIT!

Sedangkan semasa hati kuat dengan mursyid, maka otomatik kuat dengan Allah dan Rasul, duit bukan jadi perhitungan. Bukan sahaja duit jemaah tidak dipersoalkan, tetapi duit kocek sendiri pun dikorbankan bagai angin kencang.

Jika kita yakin bahawa seluruh dunia dan seisinya tidak bernilai walau setimbang sayap nyamuk pun, maka jika kita korbankan seluruh dunia untuk Islam, tidak rugi apa-apa, jika untuk Islam, tidak dikira membazir pun!

Sebenarnya sejak akhir-akhir sebelum ghaib, bukankah Abuya telah menegur dan mendisplinkan anak-anak utamanya tentang duit?

Siapakah yang akan lebih dipersolakan tentang duit, berbanding Bonda Ummu Jah ar yang semua ahli GISB dapat saksikan ketelusan dan kesungguhan beliau dalam berkorban?

4. Perbezaan situasi baliknya Bonda Ummu Jah ar berbanding Syeikh Fakhrurrazi. Memang sangat berbeza dan mungkin ini salah satu bukti kebenaran.

Bonda Ummu Jah ar dan rakan-rakan yang ditahan lebih sebulan oleh pihak Saudi telah melalui satu proses 'tarhil' dan buahnya menambahkan rasa hamba sehamba-hambanya. Lalu mereka pulang dengan penuh rasa hina, rasa lemah dan rasa malu dengan Allah, dengan RSA kerana menerima nikmat pembebasan yang pada asalnya mereka tidak akan bebas bahkan akan dipancung!

Manakala kepulangan pula ditahan oleh Jais merupakan pengesahan mereka adalah pengikut Abuya kerana Jais hanya menahan orang yang disyaki masih setia kepada Abuya. Inilah perbezaanya. Memang menakjubkan.  

5. Berkaitan rupa paras Bonda Ummu Jah ar dan pencak

Jika ada seorang yang melihat wajah Bonda Ummu Jah ar seperti nenek kebayan, bolehkah dijadikan sandaran berbanding berpuluh individu lain yang dapat meilhat wajah Bonda Ummu Jah ar untuk kali pertama dalam keadaan bercahaya-cahaya, berseri-seri dan nampak lebih muda dari umurnya? Muhandis Salim dari Madinah, Ibu Leny dari Indonesia dan Syeikh Fahad adalah antara mereka yang mengalami perkara tersebut.

Mengenai pencak kononnya ialah saluran sihir sehingga mereka yang berpencak akan terikat hatinya dengan Bonda Ummu Jah ar. Apakah dayan dayak yang secara tiba-tiba saja sangat membela Abuya, Bonda Ummu Jah ar dan GISB juga kerana berpencak dan ikut tersihir?

Renungkanlah semua hujah di atas. Sekiranya kita sedang berada dalam satu keadaan tertekan, sememangnya agak sukar untuk kita berfikir secara waras dalam menilai sesuatu sehingga tidak dapat membezakan mana satu perkara pokok, mana satu perkara ranting.

Hampir keseluruhan perkara yang diungkitkan adalah perkara-perkara cabang, malah terlalu ranting-ranting yang sangat kecil . Sedangkan apa yang sedang diperjuang dan dipertahankan oleh Bonda Ummu Jah ar adalah sebuah jemaah, model Islam untuk kebangkitan akhir zaman!  

Kepada yang dihormati, yang dikasihi dan yang berbahgia Syeikh Nasrullah ar dan Syeikh Fakhrurrazi ar, maafkan saya kerana membuat sedikit penjelasan terhadap apa-apa yang telah dibangkitkan secara meluas.

Jika tuan-tuan mengharapkan anak-anak buah memahami apa yang cuba dipersoalkan, maka saya yang kerdil ini rasa bertanggungjawab untuk memberikan pandangan dari sudut lain. Selain daripada kita terus menyerahkan persoalan ini kepada Allah, kepada RSA, tidak salah rasanya membantu mereka memahaminya dengan seadil-adilnya.

Sekian, ampun maaf.

No comments:

Post a Comment